“MAMA dah lama ke tinggal kat rumah besar ni?” tanya Zahlia sambil memerhatikan setiap sudut ruang tamu yang berhias indah itu.
Ketika itu, Raja Khalida sedang meletakkan dua gelas berisi air laici di atas meja.Hati Raja Khalida sungguh gembira kerana Zahlia sudi datang ke rumahnya.
“Lepas peristiwa lama tu, mama menumpang di rumah mak mentua Puteri.Bila hidup mama dah stabil, mama carilah rumah sendiri,” ujar Raja Khalida sambil mencapai segelas air laici lalu dihulurkan kepada Zahlia.
“Minumlah,” pelawanya. Zahlia mengangguk sambil tersenyum.
“Mama tinggal seorang aje?
“Kenapa mama tak duduk dengan nenLagipun….mama nak hidup berdikari.Mama tak nak bergantung harap pada nenek Puteri lagi,” sambung Raja Khalida.
“Mama dah tak marahkan nenek lagi?” soal Zahlia. Raja Khalida menggeleng.
“Mama dah lupakan perkara tu, Puteri.Lagipun nenek Puteri tengah sakit sekarang.Mama tak mahu dia rasa bersalah pada mama,” beritahu Raja Khalida tenang.
Zahlia menghela nafas lega.
“Nanti, kalau mama nak balik kampung…mama beritahu Alia tau? Alia nak ikut,” pinta Zahlia membuatkan Raja Khalida berpaling ke arah Zahlia.
Tidak lama selepas itu barulah kepalanya diangguk.
“Puteri datang sini, Syah tau tak?” tanya Raja Khalida mengubah tajuk. Zahlia tertunduk.
“Tak, mama.Alia beritahu dia yang Alia ke rumah mak,” ujar Zahlia dalam nada kesal.
Raja Khalida mengerutkan dahi.
“Kenapa tak berterus-terang aje?”
“Alia belum bersedia.Alia takut reaksi dia!”
“Suka hati Alialah!” jawab Raja Khalida dengan senyuman. Suasana kembali sepi.Hanya kedengaran bunyi kipas yang berputar di siling.
“Mak dengan ayah mentua Puteri, bila nak balik dari bercuti?” soal Raja Khalida masih mencari ruang untuk bersembang.
“InsyaALLAH hari ni mama.Sekali dengan anak-anaknya yang lain,” beritahu Zahlia.
“Hubungan Puteri dengan Syah dah okey?” tanya Raja Khalida tiba-tiba.
Zahlia mengetap bibir.Haruskah diceritakan masalahnya pada wanita itu? Zahlia telan air liur.Tentang perjanjian mungkin boleh diceritakan.Tetapi, tentang dua malam itu tidak mungkin!
Raja Khalida masih menanti.
“Kalau Alia beritahu mama satu perkara, mama boleh sembunyikan rahsia ni tak?” takut-takut Zahlia mengeluarkan suara.
“Apa dia?”
“Sebenarnya….” Zahlia menggigit bibir.
Raja Khalida mengerutkan dahi.Tidak mengerti dengan bunyi lenggok suara Zahlia.
“Apa dia, Puteri?” soal Raja Khalida tidak sabar.
“Sebenarnya….” Zahlia masih gugup untuk bersuara.
“Kalau Puteri takut nak cakap, baik Puteri simpan rahsia tu dulu.Mama tak desak! Tapi, kalau Puteri perlukan seseorang untuk membantu Puteri menanggung beban rahsia tu, insyaALLAH mama boleh simpan rahsia tu.”
Tiba-tiba setitik air matanya gugur ke bumi.Raja Khalida sedikit terkejut melihat keadaan itu.
“Puteri…” Raja Khalida cuba memujuk. Zahlia menarik nafas dalam-dalam.
“ “Sebenarnya… perkahwinan Alia dengan Abang Syah hanya lakonan semata-mata.Kami tak pernah bercinta tapi kami kahwin sebab….”
Zahlia menghentikan kata-kata. Kelihatan Raja Khalida terkesima.
“Apa yang Puteri cakapkan ni? Kenapa boleh jadi macam ni?” soalan Raja Khalida membisu.
Zahlia sudah menjangka yang mamanya akan kecewa selepas mendengar pengakuannya.Zahlia telah bersedia untuk menghadapi dugaan itu.Sekarang yang paling ditakuti adalah kekecohan yang bakal melanda Villa Sakura nanti.Pasti menggerunkan!
“Beritahu mama perlahan-lahan,Puteri.Mama dah bersedia mendengar apa sahaja alasan Puteri.” Raja Khalida mengusap lembut permukaan tangan itu pula.
Zahlia membalas dengan meramas jari-jemari mamanya.Gementar bibirnya mahu meluahkan kata-kata.
“Abang Syah meminta Alia kahwin dengannya supaya dia dapat mengelakkan diri dari dijodohkan dengan Linda.Sebagai balasan, Alia dibayar RM 30,000.”
“Astaghfirullah-al- azim….kenapa Puteri setuju?”
“Maafkan Alia, mama! Alia tak mahu perkara ni berlaku sebenarnya.Tapi, Alia perlukan wang waktu tu.” Zahlia berkata dalam sedu- sedannya.
Raja Khalida merenung wajah Zahlia yang mula suram.
“Puteri perlukan wang tu untuk apa?”
“Kawan Alia sakit kanser perut.Wang tabung Sinar Iram tak mampu nak menampung rawatan dia.Alia tak ada jalan lain selain menerima tawaran Abang Syah.Sekarang ni pun kawan Alia masih ditahan di wad.Keadaan dia tenat, mama!” Zahlia menangis lagi.
Raja Khalida menarik nafas panjang.Mujurlah Zahlia sanggup berterus- terang.
“Habis, macam mana hubungan Puteri dengan Syah sekarang?” Zahlia tertunduk dan membisu.
“Kenapa?” Raja Khalida bertanya lagi kerana pelik melihat respons Zahlia.
“Abang Syah berjanji nak hidup bersama dengan Alia.Alia tak tau nak buat apa?” Zahlia bersuara lemah. Raja Khalida mula tersenyum.
“Terima ajelah.”
“Alia tak tau perasaan Alia yang sebenarnya.Alia tak mahu tersilap pilih jalan.”
“Mama nampak Syah tu macam sayangkan Puteri.Terima ajelah permintaan dia tu, habis cerita!”
Zahlia telan air liur.
“Alia takut! Alia risau semua orang tau tentang hal perkahwinan kami.” Raja Khalida mengeluh.
“Sampai masa, bukan itu aje yang terbongkar.Hal kita jugak akan diketahui orang.Mama dah bersedia sekarang.Cuma menunggu Puteri bersedia.Bila agaknya tu Puteri?” tanya Raja Khalida.
“Alia belum bersedia mama.Sampai masa nanti, kita pasti akan umumkan hal kita, ya?”
Raja Khalida mengangguk dan akhirnya tersenyum.Zahlia sudah mula tenang.Raja Khalida juga sudah lega.
Tiba-tiba telefon berdering kuat.Raja Khalida segera mencapai gagang telefon di sebelahnya.
“Helo, assalamualaikum.”
“Apa??”
“Okey…okey…Ida balik sekarang jugak.” Gagang telefon dihempas kuat.
“Kenapa mama?” tanya Zahlia cemas.
“Nenek Puteri dah nazak.Mama kena balik kampung sekarang!” ujar Raja Khalida sambil berdiri. Zahlia terpana.
“Alia nak ikut mama?” tiba-tiba Zahlia bersuara. Giliran Raja Khalida pula terkejut.
“Syah macam mana?” tanya mamanya.
“Nanti Alia beritahu!” jawab Zahlia.
No comments:
Post a Comment