“KAMI nak balik hari ni! Kamu berdua, bila nak balik?” soal Tengku Badariah pada Tengku Syahran yang sedang mengunyah kuih pulut panggang.
Tengku Syahran menoleh seketika ke arah Zahlia.Zahlia juga sedang memandangnya.Tengku Syahran menjungkit kening sebagai isyarat bertanya kepada isterinya.
“Ikut abanglah.Abang yang bawa kereta,” jawab Zahlia yang mengerti isyarat yang
diberikan.
“Kalau kamu berdua nak tinggal di sini dua, tiga hari lagi apa salahnya.Kesian
pulak mak tengok Mak Su dan Mak Long kamu tinggal berdua aje.” Tengku Badariah berkata.
Tengku Syahran menoleh lagi ke arah Zahlia.Dia faham dengan riak yang
ditunjukkan.Pasti Zahlia juga berpendapat yang sama dengan kata hatinya.
“Bolehlah mak! Syah rasa elok juga kalau kami tinggal di sini lama sikit.” Tengku
Syahran menjawab.
Dada Zahlia terasa lapang mendengar ucapan suaminya itu.Tambahan pula,
apabila dia melihat wajah mamanya yang masih hiba.Zahlia menoleh seketika ke arah mamanya yang berada tidak jauh daripadanya.Ketika itu, Raja Khalida dan Raja Khalisah hanya mendiamkan diri.
“Baguslah kalau begitu.Mak dengan ayah kamu nak bertolak petang nanti,”
ujar Tengku Badariah.
“Kamu, Kimi? Nak balik bila?” soal Tengku Badariah kepada Tengku Hakimi
yang membisu.
“Ikut mak sekalilah.Esok,Murni dah start sekolah.Ana pun sekolah,kan?”
Tengku Farhana mengangguk.
“Kenapa mak nak balik awal sangat?” soal Zahlia yang tidak banyak suara
sejak akhir-akhir ini.
“Ayah kamu tu hah,asyik ingat pejabat dia aje.Dari dalam flight, sampailah dah
sampai kat Malaysia ni, asyik-asyikoffice dia.Hisy…bosan betul mak!”
“Alah mak, takkan tak kenal ayah! Mana nak buang masa sesuka hati macam tu
aje.Itu pun kalau mak tak paksa ayah ambil cuti, entah bila lagi nak ajak mak berjalan agaknya,” sampuk Tengku Hakimi tiba-tiba.
“Along, Cherating macam mana?” soal Tengku Syahran pula.Mereka tidak
sempat berbual panjang sebelum ini kerana tidak berkesempatan.
“Em, nice place!Along cadangkan kau ke sana, Syah! Bawa Alia sekali.Gerenti kau nak pergi lagi! Kan Sofea?” ujar Tengku Hakimi sambil berpaling ke arah isterinya.
Sofea mengangguk sambil tersenyum.
“Ajaklah Alia ke sana,” beritahu Sofea kepada adik iparnya.
“Betul tu angah.Angah ni entah bila nak berubah.Dari belum kahwin,sampailah dah ada isteri, asyik ingat kerja aje.Perangai sebijik macam ayah.” Tengku Farhana pula mencelah.
Tengku Syahran merenung geram kepada adik bongsunya itu.Tetapi,renungan tajam itu sempat dihapuskan apabila terasa tangan Zahlia memukul lembut tangannya.
“Elok jugak cadangan tu Syah.Ayah dengan mak kamu dah berseronok sebulan
setengah.Kamu, masa baru lepas kahwin dulu pergi bercuti tiga minggu aje.Tak puas agaknya si Alia tu nak berjalan lagi.”
“Eh, tak adalah ayah.Tiga minggu tu pun dah cukup pada Alia,” jawab Zahlia
tiba-tiba.
Tengku Syahran tersenyum memandang Zahlia.
“Tapi, tak sempat kamu nak berjalan puas-puas.Kat rumah kita tu,tak ada privacy.” Tengku Ismail berkata lagi.
“Alah, kalau nak privacy tak semestinya nak ajak bercuti aje ayah! Kat dalam bilik pun privacy jugak,” jawab Tengku Syahran selamba.
Wajah Zahlia bertukar warna.Matanya menjeling ke arah suaminya yang sedang
ketawa mengusik.
“Kau ni Syah…main-main pulak dia.” Tengku Badariah bersuara.Mereka yang lain
turut ketawa apabila tangan Zahlia sempat mencubit paha Tengku Syahran tanda geram.
Suasana ceria itu terganggu apabila terdengar bunyi loceng berdenting di luar
rumah.Zahlia ingin bangun tetapi Tengku Syahran terlebih dahulu melangkah ke arah pintu.Tidak berapa lama kemudian, Tengku Syahran kembali semula bersama dua
orang lelaki berkot di ruang makan.
Zahlia seperti dapat membaca sesuatu di riak wajah suaminya lantas mengarahkan mata kepada Raja Khalida.
“Ini Encik Basir, wakil peguam arwah Nenek Uda dan ini Encik Johan yang
bertindak sebagai saksi kepada wasiat arwah.” Tengku Syahran memperkenalkan dua orang lelaki itu.
“Maafkan saya kerana mengganggu.Saya nak berjumpa dengan waris si mati,”
beritahu Encik Basir dengan penuh tertib.
Raja Khalida dan Raja Khalisah bangun serentak dan melangkah ke arah tetamu
lalu membawanya ke ruang tamu.Tengku Syahran duduk di sisi isterinya Manakala keluarga Tengku Badariah yang lain hanya mengambil tempat tidak jauh dari ruang tamu.
Kemudian, pembantu rumah melangkah ke ruang tamu menatang dulang yang berisi cawan dan air.Keadaan menjadi hening seketika sebelum Encik Basir mengambil keputusan untuk membuka mulut.
“Pertama sekali, sebelum saya bacakan wasiat si mati…saya perlu pastikan bahawa tiga orang waris penting si mati ada bersama di hadapan saya.” Encik Basir mula membuka fail.
Raja Khalida dan Raja Khalisah berpandangan.Pelik dengan kata-kata Encik Basir.
“Waris pertama, anak sulung si mati, Raja Khalisah binti Raja Ibrahim.Waris kedua, anak kedua si mati, Raja Khalida binti Raja Ibrahim.Dan waris ketiga, iaitu cucu tunggal si mati, Puteri Safira Khairina binti Megat Safiuddin.Adakah ketiga-tiga waris ini ada bersama?” soal Encik Basir penuh sopan dan tertib.
Zahlia menelan air liur.Tiba-tiba duduknya menjadi tidak selesa.Suasana di ruang tamu terasa panas dengan sendiri.Zahlia perasan mata Raja Khalida sempat mengerling ke arahnya.Zahlia terasa tangannya digenggam lembut oleh jari-jemari Tengku Syahran.Zahlia berasa gugup di situ.Hanya membiarkan tangannya membalas genggaman yang erat tersulam di jari-jemarinya.
“Don’t be scared.Abang ada dekat sini.” Zahlia terdengar bisikan itu di telinga.
“Boleh saya tau sama ada tiga orang waris penting ini ada di hadapan saya ketika
ini?” soal Encik Basir lagi.
Raja Khalisah memandang Raja Khalida.Dia tahu tentang rahsia yang sedang disembunyikan oleh kedua beranak itu.Dia sedar Raja Khalida sedang gusar dan resah untuk memberikan jawapan kepada persoalan tadi.Perlahan-lahan dia mengeluh.
“Maafkan kami Encik Basir! Buat masa ni salah seorang dari waris, belum kami
temui.Saya rasa elok kalau Encik Basir jangan bacakan dulu wasiat arwah ibu kami.Kami perlu mencari waris itu dahulu.”
Jawapan yang terlafaz oleh Raja Khalisah melegakan hati Zahlia.
Tengku Badariah dan Tengku Ismail mengangguk serentak.Encik Basir yang mendengar pengakuan itu hanya mengukirkan senyuman.
“Kalau begitu saya terpaksa simpan dulu wasiat ni.Saya amanahkan oleh Allahyarhamah Puan Syarifah Muzainah di hadapan saksi untuk membacakan wasiatnya hanya jika ketiga-tiga waris berada di hadapan saya.Saya harap apabila waris itu telah ditemui, silalah ke pejabat saya.Ini kad saya.” Encik Basir menghulurkan sekeping kad kepada Raja Khalisah.
Encik Basir dan Encik Johan bangun serentak.Mereka bersalaman dengan penghuni
rumah besar itu sebelum masing-masing meminta diri.
“Manalah anak kamu pergi, Ida? Akak rasa baik kamu cuba cari dia di rumah mak
angkatnya tu.Ini amanah arwah, kita tak boleh lengah-lengahkan.” Tengku Badariah berkata kepada Raja Khalida.
Raja Khalida hanya berlagak tenang.Cuba mengawal perasaan yang mahu berkocak.
“InsyaALLAH kak! Saya akan cari dia secepat mungkin.”
“Em, baguslah! Akak pun teringin jugak nak tengok anak kamu tu.Dah besar
panjang agaknya.”
Tengku Badariah tersenyum pada suami di sisi.
“Kak Long pulak, tak ada apa-apa rancangan selepas ni? Yalah, takkan Kak Long
nak tinggal di rumah ni sorang-sorang?” Tengku Badariah bertanya.
Raja Khalisah menarik nafas panjang.
“Entahlah Yah.Kak long tak pasti lagi.Nak tinggalkan, terasa sayang.Nak duduk….tinggal sorang-sorang.Yalah, akak ni anak pun tak ada.Suami pulak entah ke mana.Kak Long ingat nak kerjakan haji.”
“Mak Long nak pergi Mekah dengan siapa? Takkan nak pergi sorang sorang?” soal
Tengku Farhana yang sejak tadi membisu.
“Kenapa? Kau nak ikut Mak Long?”
“Eh, tak adalah.” Tengku Farhana tersipu malu.
“Kalau kau nak temankan, apa salahnya? Kita pergi sama-sama nak? Mak Long belanja.”
“Ya ke Mak Long?” Tengku Farhana bersorak apabila Raja Khalisah mengangguk. “ “Alah…Fiza pun nak ikut jugak.” Tengku Hafizah pula mencelah.Tidak puas hati. “ “Yalah Fiza! Kita pergi sama-sama,” jawab Raja Khalisah bersungguh-sungguh.
Rumah itu kembali ceria.Zahlia tersenyum memandang Tengku Syahran.Lelaki
itu terus menggenggam jari-jemarinya mesra.Membalas senyumannya.
“OKEYLAH,mak nak balik dulu! Kamu Syah….bila kamu nak balik nanti, bawa kereta tu elok-elok,” pesan Tengku Badariah sambil menghulurkan tangan kepada anak dan menantunya.Tengku Syahran mengangguk.
“Angah, bawalah Kak Alia pergi jalan-jalan.Kak Alia tak pernah meronda kat sini lagi.” sempat Tengku Hafizah berkata sebelum melangkah masuk ke dalam kereta.
Zahlia hanya tersenyum kecil mendengar kata-kata adik iparnya.
“Betul tu Syah.Bawa isteri kamu ni jalan-jalan.Along jarang nampak kamu bawa
Alia ke mana-mana.Kesian dia,” sampuk Tengku Hakimi yang entah bila muncul di situ.
Tengku Syahran hanya memeluk mesra bahu isterinya.
“Tengok tu Alia, awak ajelah buah hati mereka.Abang ni, sesuai jadi pemandu
pelancong awak agaknya.” Tengku Syahran berkata kepada isterinya.
Zahlia ketawa sambil menampar lembut tangan suaminya yang tergantung di
bahu.
“Dahlah tu, Yah! Nanti,lambat benar pulak kita sampai KL.” Tengku Ismail
mencelah.
“Yalah….jom! Ida, akak balik dulu! Kak Long, Yah balik dulu,” ujar Tengku Badariah sambil melangkah masuk ke dalam kereta.
“Bawa kereta elok-elok nanti, Syah.”
“Kami pun nak balik,” beritahu Tengku Hakimi kepada adiknya.Dia masuk ke dalam kereta sementara Sofea sedang mengarahkan Tengku Murni ke tempat duduk belakang.
“Akak balik dulu, Syah,” ujar Sofea pula.
Zahlia melambaikan tangan ke arah mereka.Kereta itu meluncur laju dan terus
hilang dari pandangan.
“SATU perdua dari hartanya diserahkan kepada cucu tunggal si mati, iaitu Puteri Safira Khairina binti Megat Safiuddin.”
Bagaikan terdengar ayat Encik Basir di telinga Zahlia sekali lagi.
Zahlia menoleh ke arah Tengku Syahran yang sedang memandu kereta.Dia ingin
bertanya sesuatu tetapi tidak jadi apabila melihat suaminya itu hanya membisu.Zahlia kembali menegakkan kepala ke hadapan.
Mereka telah tiba di pekarangan tempat letak kereta Plaza Angsana.Tengku Syahran memarkirkan keretanya di satu petak kosong dan terus mematikan enjin.Kemudian, Tengku Syahran keluar dari kereta.Dia pelik melihat Zahlia yang masih membatu tidak bergerak.
“Alia!” panggilnya.
“Aaaa?”
“Kita dah sampai.Jom,” ucap Tengku Syahran sambil menutup pintu keretanya.
Zahlia cepat-cepat keluar dari Honda Prelude itu dan berjalan ke arah Tengku
Syahran.
“Sejak kita keluar dari bilik Encik Basir tadi, abang tengok Alia dah jadi
bisu.Kenapa?” soal Tengku Syahran sambil memegang tangan Zahlia.
Mereka melangkah masuk ke ruang membeli-belah Plaza Angsana yang ternama itu. “ “Abang rasakan, patut ke Alia terima harta tu?”
Air muka Zahlia
serius.Genggaman tangan Tengku Syahran dibalas
kemas.Merelakan jari-jemari kasar itu menyimpul ke seluruh
jarinya.
“It’s up to you! Alia ada hak nak buat keputusan.Kalau Alia rasa nak terima,
terimalah.Kalau Alia tak mahu terima, Alia boleh tolak.Apa-apa pun keputusan Alia, abang akan sokong.”
“Alia rasa nak sedekahkan pada Sinar Iram.”
“Em..bagus cadangan tu.Abang setuju,” ujar Tengku Syahran.
“Alia tak berhak terima harta nenek.Alia tak pernah menjalankan tanggungjawab Alia sebagai cucu tunggal kepada arwah nenek.”
“Kenapa Puteri cakap macam tu? Selama ni, mana Puteri sedar yang Puteri masih ada nenek?” ucapan Tengku Syahran menyebabkan Zahlia melepas pandang pada Tengku Syahran.Puteri? Zahlia hairan.
Tengku Syahran hanya tersenyum meskipun dia sedar isterinya berasa aneh dengan
panggilannya sebentar tadi.
“Kenapa? Puteri hairan abang panggil macam tu?”
“Alia rasa tak selesalah bang!”
“Kan itu nama panggilan Puteri yang sebenar.Wah, abang tak sangka isteri abang ni
memang puteri yang turun dari kayangan.” Tengku Syahran tersenyum lagi.
“Janganlah cakap macam tu.”
“Puteri di depan abang ni bukan saja puteri yang hanya pada nama.Tapi, juga seorang puteri yang telah berjaya mencuri hati abang.”
“Abang!!” Zahlia tertunduk malu.Wajahnya terasa panas.
“Yalah! Abang panggil nama biasa aje.” Tengku Syahran ketawa melihat wajah isterinya berubah.Dia tahu isterinya malu.
“Jom, abang bawa Alia makan Laksa Johor.Sesekali rasa masakan kampung sendiri, mesti sedap,” ajak Tengku Syahran sambil menarik tangan Zahlia.
Zahlia terdorong ke hadapan dengan langkah kaki yang pantas menuruti Tengku
Syahran.Mereka singgah di sebuah restoran tempatan.
“Macam mana? Sedap tak?”
Tengku Syahran menolak mangkuk yang sudah kosong ke hadapan.Kemudian, dia menyedut air tembikai di dalam gelas sepuas mungkin.
Zahlia hanya menguis-nguis laksa yang masih bertimbun di dalam mangkuk.Matanya
beralih kepada wajah Tengku Syahran.Ada sesuatu riaknya yang sengaja mahu ditunjukkan pada suaminya.Tekak Zahlia tidak boleh terima! Tetapi, Tengku Syahran buat-buat tidak faham.
“Sedap,kan? Abang suka makan Laksa Johor ni tau.Nanti Alia kena belajar macam mana cara nak buat.Bolehlah Alia masakkan untuk abang.” Tengku Syahran berkata.
Zahlia mengangguk lemah.Laksa itu mula disuapkan ke mulutnya perlahan-lahan.Memaksa diri untuk menelan.
“Hei, janganlah paksa diri kalau Alia tak suka.”
Tengku Syahran menarik sudu dari tangan Zahlia.Segera ditolak mangkuk laksa itu
menjauhi isterinya.Zahlia sedikit tersentak.Cepat-cepat menoleh ke arah Tengku Syahran.Lelaki itu hanya mengeluh.
“Kenapa tak cakap pada abang yang Alia tak suka? Kan Alia boleh pesan menu lain.”
Suara Tengku Syahran sedikit marah.
“Alia….”
“Alia ingat abang paksa Alia makan laksa ni ya?”
Zahlia tertunduk.
“Tekak Alia tak boleh terima,”beritahu Zahlia takut-takut.
“Hisy…Alia ni! Jangan jadi macam lalang.Ikut semua cakap orang.Orang ke sini, Alia ke sini! Orang ke sana, Alia ke sana! Sesekali, kita nak ada pendirian sendiri jugak.Faham?”
Zahlia mengangguk.
“Sudahlah.Biar abang habiskan laksa tu.Membazir kalau dibiarkan macam tu
aje.Alia nak pesan menu lain?”
Tengku Syahran menarik mangkuk laksa itu dekat dengannya.Zahlia menggeleng.Segera mencapai gelas air di atas meja lalu disedut tetapi perbuatannya terhenti apabila terpandang mata Tengku Syahran sedang merenungnya.
“Kenapa?” soal Zahlia pelik.
“Tak ada apa-apalah,” ujar Tengku Syahran sambil menyuap kembali laksa ke dalam mulut sambil tersenyum.
Zahlia semakin hairan.Mengapa dia tersenyum? Zahlia meraba-raba sekitar mulutnya.Tiada apa-apa yang melekat di situ.Matanya meliar ke sekeliling meja.Tiba-tiba Zahlia terasa wajahnya diserbu rasa panas.Gelas di tangan perlahan-lahan diletakkan semula ke atas meja.Zahlia tersalah ambil gelas!
“Apa salahnya Alia minum air abang?” Tengku Syahran menegur selamba. Zahlia malu.Segera mencapai gelas airnya yang sebenar dan menyedutnya perlahan.
“Suami isteri yang makan berkongsi pinggan, minum berkongsi cawan akan sentiasa
diberkati ALLAH.Apatah lagi kalau berkongsi straw.” Tengku Syahran mengusik.
Zahlia terdiam.Dia malu dengan kejadian yang tidak disengajakan tadi.Entah bagaimana matanya boleh tak perasan yang tangannya mencapai gelas Tengku Syahran? Namun, hati Zahlia tetap tercuit dengan kata-kata Tengku Syahran yang terucap tadi.Dia tersenyum di dalam hati.
No comments:
Post a Comment