ZAHLIA cuba membuka kelopak mata.Tekaknya masih terasa perit.Ketika itu, suasana agak sunyi dan hening.Zahlia terasa kepalanya bagaikan mahu berpusing.Tangannya mula memicit-micitkan kepala.
Buat seketika Zahlia terlupa apa yang sedang berlaku.Terkebil-kebil matanya meneliti di segenap bilik yang gelap tanpa lampu yang terpasang.
Zahlia mencapai jam loceng di tepi katilnya.Diamati jarum jam itu di celah-celah cahaya dari luar yang terpasang.Tepat menunjukkan pukul 11.00 malam.Ya ALLAH! Lamanya aku tertidur.
Zahlia terkejut.Dia mahu bangun tetapi kesakitan yang menerjah di seluruh urat saraf
menghalangnya untuk terus duduk lama-lama.Zahlia terbaring semula.Tetapi dia cuba menguatkan semangatnya.
Perlahan-lahan dia turun dari katil dan berdiri tegak.Kakinya mula bergerak ke arah
pintu.Dia menekan suis lampu.Terpana matanya apabila melihat seluruh lantai bilik yang berselerak.Zahlia cuba mengingati apa-apa peristiwa yang berlaku.Gagal memberi jawapan kepadanya.
Zahlia menghela nafas seketika.Dia menyandar di dinding bilik.Tiba-tiba matanya
terpaku pada kerusi panjang yang kosong.Hatinya bagaikan ditarik sesuatu.Mana Syah? Zahlia mula menyarung tudung ke kepala sebelum melangkah keluar bilik.
Ketika kakinya baru sampai di anak tangga pertama, telinganya menangkap bunyi suara bising yang bergema dari ruang tamu.Zahlia menghentikan langkahnya.Mencari sedikit ruang untuk mengenal pasti pemilik suara yang kuat itu.Tengku Badariah!
“Mak tak suka kau simpan perempuan tu lagi! Selama ni mak percaya pada dia.Mak percaya pada kamu, Syah.Rupa-rupanya kamu pembohong! Kamu ingat perkahwinan ni perkara main-main ke?Berkahwin dengan cara tak senonoh macam ni!” nyaring suara itu menusuk ke lubang telinga penghuni Villa Sakura yang sedang duduk membisu di situ.
Zahlia turut tersentak.Luruh terasa jantungnya.Bagaikan tidak terpijak tapak kakinya ke tanah.Mak sudah tahu?
“Kalau kamu tak sampai hati nak suruh dia keluar, biar mak yang halau dia!”
sambung Tengku Badariah.
“Jangan mak! Alia isteri Syah.”
“Memang dia isteri kamu hari ni.Tapi, mak nak kamu ceraikan dia.Mak tak mahu
tengok muka dia lagi.Suruh dia keluar!” tengking Tengku Badariah.
Tengku Syahran menggeleng.Tengku Ismail dengan anak-anaknya yang lain
turut terkejut dengan permintaan Tengku Badariah.Tetapi mereka tidak mampu melakukan apa-apa.Mereka hanya membatu melihat kedua beranak itu bertegang urat.
“Mak, Alia takkan keluar.Syah akan hidup bersama Alia,” beritahu Tengku Syahran berani.
Tengku Badariah mengancingkan giginya.
“Kamu jangan jadi bodoh kerana dia! Banyak perempuan lain yang boleh kamu jadikan isteri.Tapi bukan dia!”
“Kenapa?”
“Mak tak suka! Kamu ni Syah…kalau mak tak terima surat ni agaknya, sampai mak
mati pun, kamu akan menipu mak.Apa nak jadi dengan kamu ni hah? Sejak bila kamu pandai menipu mak dengan ayah ni?” marah Tengku Badariah kuat.
“Yah, perlahankan sikit suara awak tu! Tak elok kalau jiran-jiran dengar.” tiba-
tiba Tengku Ismail menyampuk.
“Itulah abang! Anak-anak dah buat tak senonoh macam ni, abang masih tak banyak
cakap.Mendiamkan diri ajelah yang abang tau.Yah malu bang! Anak menantu kita buat perkara kahwin sesuka hati.”
Tengku Badariah mendengus.
“Abang tau.Tapi kalau dengar si Alia tu nanti, tak elok!Dia tengah tak sihat tu!”
“Biar dia dengar! Baru puas hati Yah agaknya.Perempuan macam tu memang tak
sesuai duduk dengan kita.Pandai sangat bermuka-muka.” Ayat Tengku Badariah membuatkan Zahlia terkedu.Terkaku dirinya di anak tangga itu.
“Mak, dengar dulu apa yang Syah nak cakap.Memang Syah yang bersalah dalam hal
ni mak.Tak ada kaitan dengan Alia.Syah yang rancang semuanya.”
“Kamu yang rancang?Habis, kenapa syarat dia berlebih-lebih dari kamu? Dah tu,
terima RM 30,000 lagi? Kamu jangan ingat mak bodoh! Mak hidup lebih dulu dari kamu!”
“Betul mak.Semuanya berpunca dari Syah sebab Syah tak mahu mak jodohkan
Syah dengan Linda.Takkan itu pun salah?” ujar Tengku Syahran tenang.
“Memang salah.Kamu gunakan cara macam ni untuk menutup mata mak.Konon-
konon bercinta selepas kemalangan.Rupa-rupanya kamu dengan perempuan tu menipu mak selama ni.Tak guna!”
Tengku Badariah menjawab lagi.
“Habis, mak suka Syah kahwin dengan Linda? Perempuan yang dah mengandungkan anak luar nikah tu?” Tengku Syahran semakin geram.
Tengku Badariah terdiam sejenak.
“Sekurang-kurangnya kamu boleh berbincang dulu dengan mak.Kenapa ambil
tindakan yang bodoh macam ni?”
“Mak tak pernah nak faham perasaan Syah! Dah banyak kali Syah beritahu mak
yang perangai Linda tu tak senonoh.Mak yang tak nak dengar!” suara Tengku Syahran semakin mendatar.
“Mak buat macam tu untuk kebahagiaan kamu.Mak tak mahu kamu menderita lagi
selepas Nazirah pergi.Mak nak hidup kamu lebih teratur,” ujar Tengku Badariah perlahan.
Zahlia yang berdiri tegak di anak tangga terus diam membatu.Nazirah? Zahlia
telan air liur.Perempuan hari itukah?
“Cara mak yang tak betul.Linda bukan orang yang sesuai untuk hidup dengan
Syah.Agaknya masa tu mak dah lupa yang anak mak dah dewasa.Syah boleh cari jodoh Syah sendiri.Kenapa mesti mak yang nak tentukan calon isteri Syah?” Tengku Syahran semakin berani meluahkan perasaan yang sudah lama terbuku di dada.
“Mak tak mahu kau buat silap.Sekarang…kamu tengoklah.Apa yang kamu buat?
Kamu ambil perempuan yang entah apa-apa sebagai isteri.Dah tu kahwinnya siap bersyarat-syarat.Mak tak suka cara begini.”
“Kami dah janji yang kami tetap akan bersama.”
“Cukup! Mak tak mahu dengar apa-apa lagi.Kamu jangan menggatal nak buat
keputusan yang merepek-repek.Jangan harap perempuan tu akan jadi menantu dalam keluarga kita lagi.Ceraikan dia!”
“Tapi mak, Syah sayangkan dia.Kami dah bersetuju.”
“Mak kata cukup…cukup! Mak tak nak dia ada kaitan dalam keluarga kita
lagi.Tinggalkan dia! Lagipun, kamu tak pernah usik dia, apa yang susah? Perkara ni takkan dipanjangkan-panjangkan lagi.Mak mahu dia berambus atau mak yang akan heret dia keluar!”
Tengku Syahran terdiam.Adik-beradik yang lain turut sama membisu.Tengku
Ismail pula mengeluh berat melihat kemarahan isterinya.
“Yah, bawalah bersabar.Jangan terlalu mengikut perasaan marah awak tu.”
Tengku Ismail menyampuk lagi.
Tengku Badariah menjeling ke arah suaminya.
“Selagi dia ada dalam rumah ni, hati Yah sakit bang tau tak? Memang dasar anak
luar nikah!”
“Mak! Jangan hina Alia.Alia bukan anak luar nikah.” Tengku Syahran menafikan
kata-kata itu sekeras-kerasnya.
Sementara itu di anak tangga, air mata Zahlia sudah lama bercucuran.Hatinya
semakin pilu mendengar kata-kata penghinaan itu.Zahlia tunduk menahan sebak.
“Mana kamu tahu?Kamu tak sedar dari mana dia datang? Tu rumah anak-anak
yatim Sinar Iram tu! Orang jumpa pun kat tengah-tengah semak.Entah siapa ibu bapanya.”
“Mak jangan hina sampai macam tu sekali.Alia bukan anak luar nikah! Walau
apa pun yang berlaku, Syah tetap akan bersama dengan Alia.Ini keputusan Syah.”
“Kamu jangan nak berdegil.Ni perempuan tulah yang ajar.Mak tak pernah
mendidik kamu berperangai begitu tau?”
“Syah tak peduli dengan apa yang orang nak kata! Syah tetap dengan keputusan Syah.Lagipun elok kalau Syah berterus-terang pada mak.Syah dah pernah usik Alia.Syah dah sentuh dia.Sekarang Syah tak kisah apa yang mak nak kata.”
Ucapan Tengku Syahran itu membuatkan mulut Tengku Badariah terlopong.Terjelepok punggungnya terjatuh di atas kerusi bersebelahan suaminya.
“Ya ALLAH, Syah! Apa yang kamu dah buat ni?” jerit Tengku Badariah sambil
mengongoi di dada suaminya.
Penghuni Villa Sakura yang lain turut terkejut mendengar pengakuan itu.
“Betulkah apa yang kamu beritahu ni Syah?” soal Tengku Ismail meminta kepastian.
Tengku Syahran tertunduk.Mengangguk.
“Sampai hati kamu Syah! Kamu kecewakan perasaan mak.Dia bukan perempuan
yang sesuai untuk melahirkan zuriat kepada kamu dan keluarga kita.” Tengku Badariah bersuara dalam nada esakan.
“Kenapa bukan dia?”
“Keturunan dia tak jelas.Dia tak sepatutnya terlibat dalam keluarga kita,” ujar
Tengku Badariah lagi.
Tengku Syahran menarik nafas panjang.
“Syah rasa Syah patut beritahu mak satu rahsia lagi.Sebenarnya Alia tu….” belum
sempat Tengku Syahran menghabiskan ayatnya, dia terdengar satu dentuman yang kuat dari tingkat atas.Semua mata tertumpu ke situ.
Tengku Syahran mula risau.Alia dengarkah? Tengku Syahran tertanya di dalam
hati.Dia tidak menunggu lama.Pantas kakinya bergerak memanjat tangga.Pintu bilik dilihatnya tertutup rapat seperti ketika dia dipanggil oleh emaknya tadi.
Tengku Syahran terus memulas tombol pintu.Ketat terkunci.Dia terkedu.Dipulas lagi tombol yang bulat itu.Tetap melekat rapat.Tengku Syahran mengetuk pintu biliknya berkali-kali.Tiada langsung reaksi dari dalam.
Tengku Syahran berasa cemas.
“Alia buka pintu ni?” jeritnya perlahan.
Zahlia tersandar di balik pintu.Suara Tengku Syahran sayup-sayup menyapa telinganya.Peritnya patah perkataan Tengku Badariah terlalu mencarik hati Zahlia.Zahlia terkaku sendirian.Lemah terasa otot-ototnya untuk berdiri di situ.Tiba-tiba Zahlia terkulai layu di lantai.Berombak-ombak dadanya menahan sebak yang ingin bertukar menjadi air jernih yang mula bertakung di matanya.
Zahlia memejam mata.Tanpa disuruh, air jernih itu menitis.Hangat melembapkan pipinya yang putih bersih.Zahlia menangis di situ.
“Alia, buka pintu ni sayang! Abang tau Alia dengar apa yang abang cakapkan
ni.Tolong buka pintu ni Alia.”
Zahlia mengengsot sedikit ke hadapan.Dia duduk di lantai menghadap pintu.Matanya yang berkaca-kaca dibiarkan memandang tombol pintu yang bergerak.Kepalanya digeleng.
“Alia dengarlah cakap abang ni…kita bincang sama-sama.Tapi,Alia kena buka pintu
ni dulu.” Suara Tengku Syahran mulai lembut.Berusaha untuk memujuk hati isterinya.
Sedu-sedan Zahlia semakin kuat memenuhi ruang bilik.Tangisannya sudah berlagu-lagu.Baju yang dipakainya sudah lembap dibasahi dengan hujan air mata.
Perlahan-lahan Zahlia bangun tetapi hala kakinya tidak terarah ke muka pintu
sebaliknya tapak kaki itu semakin menjauh meninggalkan tempat di mana tubuhnya terkulai tadi.Zahlia tidak lagi mampu memujuk hatinya yang lara.
Sementara itu, Tengku Syahran sudah tidak keruan arah tujuannya.Mundar-mandir
jalannya di hadapan pintu bilik yang masih tertutup rapat.Sudah setengah jam Zahlia tidak memberikan apa-apa respons.Tengku Syahran perlu bertindak.
Laju Tengku Syahran menapak semula ke ruang tamu.
“Mak, mana kunci spare?” tanya Tengku Syahran.
Tengku Badariah menjeling ke arah Tengku Syahran.Pertanyaan anaknya itu
tidak ingin dijawab.Tengku Ismail yang melihat sikap acuh tidak acuh isterinya segera menggeleng.Tumpuannya beralih pada Tengku Syahran pula.Anak keduanya itu kelihatan kelam-kabut dan tidak tentu arah.Tengku Ismail bersimpati pada nasib anaknya.
“Cuba kau tengok dalam kabinet kat bilik bacaan.Ayah ada letak kunci spare
kat situ,” jawab Tengku Ismail bagi pihak isterinya.
Tengku Syahran mula bergerak memanjat tangga sekali lagi.Kakinya pantas menuju ke bilik bacaan dan mencapai kuncispare di tempat yang telah dimaksudkan oleh ayahnya.Setelah mencapai segugus kunci itu, Tengku Syahran melangkah ke pintu
biliknya semula.Satu-persatu anak kunci dimasukkan ke lubang tombol untuk membuka pintu biliknya.Tetapi, belum pun sempat anak kunci terakhir masuk ke lubang tombol,pintu biliknya sudah terbuka dari dalam.
Tengku Syahran tersentak.Raut wajah Zahlia yang lencun ditatap dalam riak hiba.Hatinya sebak melihat kesedihan hati isterinya yang amat disayangi.Sedikit sebanyakTengku Syahran mula memahami kepedihan jiwa apabila dilempar dengan kata-kata nista emaknya tadi.Tengku Syahran menerpa ke arah Zahlia.Didakap erat tubuh yang terkaku dan lesu menghadap dirinya itu.Dicium wajah isterinya bertalu-talu.
“Sayang jangan ambil hati dengan apa yang mak cakapkan tadi, ya?! Fikirkan hal
kita yang lebih penting,” pujuk Tengku Syahran.
Zahlia tidak peduli dengan pujukan itu.Pelukan suaminya tidak juga dibalas.Dibiarkan lelaki itu dengan kata-katanya.Hati Zahlia sudah terluka.Pandangannya kosong dan kabur sekali,impian untuk hidup bahagia di sisi lelaki itu telah punah ketika mendengar ucapan Tengku Badariah yang kuat memukul deria pendengaran.
Perlahan-lahan Zahlia menolak tubuh suaminya menjauhinya.Tindakannya itu
membuatkan Tengku Syahran terpana.Tolakan tangan itu sungguh lembut tetapi begitu menyentuh jiwa lelakinya.Tengku Syahran mula tersedar yang hati isterinya
itu benar-benar telah terluka.
“Don’t be like this, honey! You are a tough woman.Alia tak boleh lemah macam ni.Please wake up! Abang nak Alia pulihkan semangat Alia macam dulu.Alia kan perempuan yang tak tau mengalah.Alia kena kuat.”
Mata Tengku Syahran mula berkaca-kaca.Sedih hatinya melihat sikap Zahlia.Tidak
sanggup untuknya melihat air mata yang berterus-terusan membasahi pipi Zahlia yang berjaya memikat hatinya itu.Tengku Syahran juga dapat merasakan air hangat yang
menitis ke pipinya.
Zahlia mula menjarakkan diri dari Tengku Syahran.Beg pakaian yang terselit di sebalik dinding pantas dicapai.Diisinya beberapa helai pakaian dan kemudian kakinya mula melangkah keluar dari bilik itu.Dahi Tengku Syahran berkerut.Air matanya
semakin laju menitis ketika melihat beg pakaian berada di tangan Zahlia.Hatinya terus diburu rasa sebak.Ya, ALLAH! Benarkah ini satu dugaan?
“Alia, jangan!” Tengku Syahran merampas beg itu.
Zahlia tidak terdaya untuk melawan.Suara Tengku Syahran yang tersekat-sekat
membuatkan air matanya semakin laju menitis.Tetapi hati Zahlia betul-betul kecewa.Dia tidak lagi diperlukan di rumah itu.Untuk apa dia menyeksakan diri berlama-lama di sini?
Zahlia merenung wajah Tengku Syahran seketika.Tapak tangannya mula menghampiri pipi lelaki itu.Lantas dikesat air mata yang semakin kuyup di wajah suaminya.Bibirnya menguntum senyuman.Tawar dan hambar.Tangan kanan lelaki itu dicapai dan dikucup.
“Halalkan makan minum Alia!” ujar Zahlia akhirnya.
Beg pakaian dicapai semula.Tengku Syahran terkaku.Beginikah berakhirnya ikatan ini? Begitu mudah? Tengku Syahran semakin pilu.Dia meluru ke arah Zahlia lagi.
“Jangan tinggalkan abang, sayang! Kita boleh bina hidup baru.Alia tak mungkin
boleh selemah ini.Mana Alia yang abang kenal dulu?” Tengku Syahran menarik tubuh Zahlia.Didakap penuh erat.Tengku Syahran menangis tersedu-sedan di bahu Zahlia.
Langkah Zahlia terhenti lagi.Kepalanya digeleng.
“Cukuplah sekali Alia rasa terhina dengan kata-kata abang dulu.Yang tu….Alia
boleh maafkan sebab Alia sedar ianya satu salah faham.Tapi kali ni, Alia betul-betul kecewa bang.Alia tau bukan abang yang cakap, tapi Alia tetap sedih walaupun Alia memang bukan anak luar nikah.Sekurang-kurangnya Alia pernah hidup dengan gelaran tu.Lepaskanlah Alia!” Zahlia berlalu menuruni anak tangga.
“Alia….” Zahlia tidak mempedulikan jeritan itu lagi.Dia terus melangkah.
Ketika Zahlia tiba di ruang tamu, semua mata tertumpu ke arahnya.Zahlia mengumpul sepenuh kekuatan.Menggerakkan kaki ke arah adik-beradik iparnya.Dipeluk tubuh Tengku Hafizah dan Tengku Farhana seerat mungkin.
“Akak dah fikirkan masak-masak?” soal Tengku Hafizah.
Zahlia hanya mngangguk.Dia menuju ke arah Tengku Hakimi pula.Tangan
lelaki itu disalamnya.Tengku Hakimi berasa pilu.
“Jaga diri baik-baik Alia!” sempat Tengku Hakimi berpesan.Zahlia tersenyum dan
mengangguk.Menoleh sekilas wajah Sofea yang duduk di sisi Tengku Hakimi.Dia beralih pula pada birasnya.Mereka tidak bercakap walaupun sepatah.Sofea sedih melihat wajah Zahlia.
Kaki Zahlia melangkah pada Tengku Ismail tidak jauh dari situ.Pancaran sinar wajah tua itu mengundang air jernih di juring matanya.Pantas Zahlia menyeka.Dia tunduk menghulur tangan.
“Maafkan Alia atas apa yang berlaku, ayah! Harap ayah halalkan apa yang
terlebih dan terkurang pada Alia,” ujar Zahlia tenang.
“Kalau kamu perlukan apa-apa bantuan, carilah ayah.Kalau malu kat rumah, telefon ayah di pejabat,” beritahu Tengku Ismail. Zahlia hanya tersenyum.Kakinya diarah pada Tengku Badariah.Tetapi wajah bengis itu tidak langsung memandangnya.Zahlia cuba menghulurkan tangan.Takut-takut.Sah, tangannya tidak disambut.Zahlia menjatuhkan tangannya semula.
“Mak, ampunkan salah silap Alia selama setahun Alia di rumah ni.Alia tak tau
sampai begini sekali kesudahannya.Alia minta maaf!” lembut tutur kata Zahlia sambil merenung wajah yang bengis itu.
Tengku Badariah merengus.
“Tunggu apa lagi? Berambuslah! Menyampah aku tengok muka kamu.” Tengku
Badariah bersuara.
Zahlia memejamkan matanya seketika sambil menarik nafas panjang.
“Alia minta ampun mak,” ujar Zahlia sekali lagi.Biarpun huluran tangannya tidak disambut, Zahlia tetap mencapai tangan itu untuk dicium.Tetapi tubuhnya ditolak.
“Kamu tak layak cium tangan aku! Perempuan tak guna! Nah, ambil semula surat
perjanjian kamu ni.Tak ingin aku nak simpan.” Tengku Badariah melemparkan kertas di tangannya ke muka Zahlia.
Zahlia sebak tetapi tetap menahan tangisan.
“Yah!!” tegur Tengku Ismail tidak senang dengan perbuatan isterinya.
Zahlia tidak banyak bicara lagi, tubuhnya terus dipusing dan kakinya mula melangkah meninggalkan ruang tamu rumah itu.Ketika kakinya sampai di pintu besar, hayunan kakinya terhenti apabila terdengar namanya dipanggil.
“Alia!!”
Zahlia berpaling semula.Wajah Tengku Syahran terlekat di ruang mata.Zahlia
ternampak tubuh itu terhenjut-henjut dalam sedu.Zahlia terlihat raut yang sudah pun basah.Lelaki itu menggeleng.Zahlia tersenyum tawar sebelum mengambil
keputusan untuk terus menapak keluar.
Zahlia menangis tersedu-sedan apabila kakinya menjejaki di pekarangan garaj kereta.Zahlia menuju ke arah keretanya bersama air mata yang semakin laju gugur ke bumi.
“Alia…Alia tak sayangkan abang lagi? Kan kita pernah berjanji akan hidup
bersama walau apa pun yang terjadi.Alia mesti kuat sayang…ini hanya dugaan!” entah bila Tengku Syahran berada di sisinya, Zahlia sendiri tidak sedar.
Zahlia hanya menggeleng.Beg pakaian dicampak ke belakang kereta.Sebaik sahaja tubuhnya ingin memboloskan diri ke dalam kereta, tangannya ditarik kasar.Tubuhnya tidak bergerak malah ditekan kuat ke kereta.Dirinya terperangkap bertentang mata dengan Tengku Syahran.Mata Tengku Syahran dilihatnya sudah kuyu dan berair dengan banyak.
“Abang tak kisah.Kalau Alia betul-betul nak tinggalkan rumah ni, abang akan ikut.”
Zahlia terperanjat.
“Jangan bang! Jangan kusutkan lagi masalah kita.Alia boleh jaga diri Alia
sendiri.Abang tak perlu tambahkan kemarahan mak.Biar Alia yang tanggung semuanya.”
“Tapi, apa yang berlaku semuanya berpunca dari abang.Abang yang perlu
bertanggungjawab.Kenapa mesti Alia yang menderita seorang?”
“Mungkin dah nasib Alia agaknya.Menderita sebelum mengecapi bahagia.Tak apa
abang! Alia dah bersedia.Abang tak usah risau dengan keadaan Alia.Alia boleh uruskan sendiri.” Zahlia menolak tubuh Tengku Syahran.
“Jangan jadi bodoh Alia.Setiap masalah ada penyelesaiannya.”
“Inilah penyelesaiannya.Alia perlu keluar dari rumah ni.”
“Melarikan diri bukan jalan keluarnya.Cara ini hanya akan membuatkan abang
bertambah derita.I love you, sayang.Kenapa Alia tak nak faham perasaan abang?”
Demi mendengarkan ayat itu, Zahlia menitiskan air mata.Wajah Tengku Syahran
kelihatan bersungguh-sungguh menyatakan ungkapan itu.Zahlia pilu.Bukan dia tidak faham tetapi keadaan yang memaksanya bertindak begitu.
“Jangan tambahkan penderitaan hati Alia dengan tuduhan abang.Mana abang
tau perasaan Alia? Alia jugak sayangkan abang.Tapi,mungkin jodoh kita sampai di sini aje.”
“Tak mungkin!Masalahnya sekarang hanya Alia, bukan abang.Alia yang tak mahu bagi peluang untuk kita cipta hubungan baru.Alia yang terus menyerah kalah pada takdir.Kita tak boleh macam tu!At least, kita perlu berusaha,” ujar Tengku Syahran dalam sendunya.
Zahlia terdiam seketika.Suasana suram mengulit setiap ruang antara mereka.Mata yang kuyu mengerdip cuba dibuka seluas-luasnya untuk merenung wajah lelaki itu.
Buat pertama kali,Zahlia berjaya menempatkan anak mata hazelnya lama ke
dasar mata Tengku Syahran.Terasa sesuatu yang menjentik-jentik fikirannya untuk memeluk tubuh lelaki itu secara tiba-tiba.Lama mereka berpelukan erat di situ.
“Hiduplah dengan abang, Puteri.Jangan pergi macam tu aje.Abang akan merana!” Tengku Syahran merayu-rayu.
“Mak dah bencikan Alia.Hubungan kita tak akan direstui.”
“Tapi, mak belum tahu tentang hubungan Alia dengan mama! Kita patut dedahkan
hal tu.”
“Jangan! Alia tak mahu kaitkan mama dalam hal ni.Hal mama tak ada kaitan
dengan perkahwinan kita.”
“Alia…abang boleh mati kalau tak bersama Alia, abang ikut sekali ya?” pujuk
Tengku Syahran lagi.
Zahlia membisu.Dia tidak tahu hendak memberi jawapan apa.Dia hanya
membiarkan tubuhnya dipeluk erat.
“SYAH, Puteri! Kenapa ni?” tiba-tiba Raja Khalida muncul.Zahlia melepaskan pelukan.Begitu juga dengan Tengku Syahran.
“Mama!!” Zahlia menerpa memeluk Raja Khalida pula. Raja Khalida pelik namun pelukan anaknya disambut jua.
“Kenapa ni Puteri?Apa dah jadi?” soal Raja Khalida penuh sabar walaupun hatinya berkocak-kocak ingin tahu.
Zahlia menangis di bahu mamanya.
Raja Khalida memandang Tengku Syahran pula.Wajah yang keruh itu membuatkan dahinya berkerut.Mata yang bengkak dan sembap itu membuatkan hati Raja Khalida meneka sendirian.Pasti ada sesuatu yang berlaku.
“Mak kamu dah tau, Syah?” tanya Raja Khalida. Tengku Syahran mengangguk lemah. Raja Khalida memeluk Zahlia.Diusap bahu itu lembut dan penuh kasih.
“Sabar Puteri.Mama ada bersama Puteri.Kita masuk dalam dan bincang sama-
sama,” ujar Raja Khalida tetapi Zahlia tidak mahu menapak ke dalam Villa Sakura lagi.Dia mahu tunggu di luar.
Akhirnya Tengku Syahran dan Raja Khalida melangkah masuk.Setelah kelibat
mereka hilang, Zahlia melangkah ke dalam kereta Proton Wiranya.Selepas menghidupkan enjin, Zahlia terus memandu keluar meninggalkan pekarangan Villa Sakura.
Tengku Syahran yang sudah melangkah ke dalam rumah, terkejut mendengar enjin
kereta yang semakin berbalam-balam.Dia berlari keluar semula.Namun, kereta Zahlia sudah hilang.Tengku Syahran kaget.Dirinya panik.
“Alia, jangan tinggalkan abang!” jerit Tengku Syahran kuat.
Namun, Zahlia tetap pergi.Dan tidak mungkin dia mendengar jeritan suaminya
itu.
No comments:
Post a Comment